Thursday 21 July 2011

RASUAH BOLEH MEROSAKKAN NEGARA

Mr. Gayus Tambunan

Sangat menarik... semasa membaca suratkhabar pagi ini, ternampak satu berita yang menggemparkan berlaku di negara jiran yang bertajuk "Gayus Tambunan Akui Terima Layanan Istimewa". Saudara Gayus ini merupakan seorang pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan percukaian untuk negara. Pada akhir tahun lepas, beliau telah di tangkap kerana mempunyai harta bernilai berjuta-juta ringgit hasil dari rasuah.

Beliau telah ditahan di sebuah penjara di Jawa Barat, sementara menanti keputusan Mahkamah Anti Rasuah namun yang menariknya, beliau pula telah merasuah Ketua Penjara untuk memberikan kebebasan kepada beliau untuk keluar dari penjara dengan sesuka hati selama 78 hari. Beliau juga telah mendapat layanan yang sangat istimewa di dalam penjara.

Ketua Penjara tersebut iaitu Iwan Siswanto telah dijatuhi hukuman penjara  selama 4 tahun oleh Mahkamah Anti Rasuah semalam.

Itulah yang berlaku sekiranya rasuah bermaharajalela dan rasuah inilah yang akan merosakkan sesebuah negara.

Wednesday 22 June 2011

Serangan Jahat Berbentuk Fizikal Terhadap SPRM Telah Bermula


Kalau jahat memang tetap jahat. Itulah yang boleh di perkatakan terhadap kumpulan yang sejak kebelakangan ini sudah mula menyerang pegawai SPRM secara fizikal. Mungkin mereka merasakan bahang terhadap tugas-tugas yang di lakukan SPRM telah 'menyengat' organisasi mereka.


Seminggu yang lepas, kereta seorang pegawai SPRM Selangor telah di simbah cat tetapi kejadian semalam telah mengubah segala-galanya kerana seoarang pegawai SPRM telah di serang secara fizikal. Mangsa di katakan mengalami kecederaan yang agak parah dan kini sedang di rawat di hospital.

Nampaknya, semua pegawai-pegawai SPRM kenalah berjaga-jaga selepas kejadian ini kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku. Kepada pegawai SPRM yang sedang cedera sekarang, sama-sama lah kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan kepada SPRM, ayuh teruskan ke depan dan jangan sekali-kali berundur. Majoriti rakyat Malaysia di belakang anda.

Monday 11 April 2011

Mengapakah Rasuah Di Jabatan Kastam Mesti Di Hentikan

Tindakan tegas terhadap Jabatan Kastam telah memberikan persepsi yang positif kepada usaha tegas YAB Perdana Menteri melalui SPRM untuk mengatasi gejala rasuah yang sangat berleluasa. Ramai yang tidak sedar apa yang berlaku di persekitaran kita terpaksa melalui Jabatan Kastam. Rakyat sering bertanya, mengapakan ia tetap berlaku.... maka jawapannya ialah RASUAH. Lihat foto di bawah :-

Penjualan telefon tiruan yang banyak di pasaran

Penjualan minyak wangi palsu

Penjualan kasut tiruan di pasar-pasar malam

Baju dan pakaian tiruan. Walaupun di rampas, tapi sampai bila

Pergi ke Petaling Street, jam tiruan di jual begitu banyak

Beg tiruan di jual di merata tempat, termasuklah melalui internet

Rokok tetap dapat di seludup. Yang di rampas hanya sedikit dari banyak yang terlepas masuk.

Cukai arak... yang kena cukai 1 botol dari banyak botol yang terlepas.

Persoalannya, bagaimanakah barang-barang ini boleh masuk kedalam pasaran negara? Patutlah 'forwarding agent' marah bila kawan-kawan mereka di Kastam di tangkap. Fikirkanlah...

Sunday 10 April 2011

Renungan : Rasuah Adalah Penyakit Kronik Masa Kini


Artikel yang ditulis oleh Awang Selamat ini di petik dari akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Ia cukup menggambarkan apa yang sedang berlaku pada ketika ini. marilah sama-sama kita renungkan...


Cabaran SPRM


Awang bukanlah pegawai atau kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pun begitu, Awang boleh rasakan tekanan yang dihadapi oleh SPRM ekoran satu lagi insiden kematian saksi di premis SPRM. Lebih menyedihkan ada pihak termasuk sebahagian pemimpin pembangkang menangguk di air keruh dengan menyalahkan SPRM.


SPRM yang bertanggungjawab menegakkan integriti dan memerangi rasuah akhirnya menjadi mangsa budaya politik lapuk dan murahan. Dalam kes pertama melibatkan Teoh Beng Hock, Awang menyertai majoriti rakyat yakin bahawa beliau tidak dibunuh seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Sentimen yang dimainkan secara keterlaluan tidak akan dapat menangkis kebenaran. Sesiapa yang rasional akan terima hakikat. Tidak mungkin pegawai SPRM akan membunuh saksi di premis mereka. Dalam insiden kedua, itulah juga keyakinan Awang. Mustahil sekali lagi pegawai SPRM mahu memalukan suruhanjaya tersebut memandangkan kes pertama sudah cukup memberikan tamparan luar biasa. Walaupun ada kelemahan dari segi prosedur berkaitan saksi tetapi para pegawai SPRM tidak sebodoh itu.

Pada Awang, saksi bertindak membawa mudarat kepada diri sendiri, bukan sesuatu yang asing dalam penyiasatan badan atau suruhanjaya pencegahan rasuah di seluruh dunia. Di Taiwan, saksi utama perbicaraan kes rasuah isteri bekas Presiden Taiwan, Chen Sui-bian bertindak membunuh diri hanya sejam selepas memberi keterangan pada Disember 2008. Di China pada tahun lalu, beberapa pegawai awam turut bertindak membunuh diri disebabkan kemurungan, kebanyakannya ada kaitan dengan kes rasuah. Malah ada laporan media China menyebut bahawa membunuh diri sebagai salah satu cara bagi mengelakkan lebih banyak perkara terdedah dan bagi melindungi maruah keluarga.

Di Filipina, bekas panglima tentera Jeneral (b) Angelo Reyes menembak kepalanya sendiri selepas dia dituduh melakukan rasuah dan penyelewengan wang dana tentera. Di Jepun pula, beberapa pegawai kanan awam dan anggota Parti LDP membunuh diri ketika siasatan satu skandal rasuah hangat diperkatakan pada 1989.

Banyak lagi kes membunuh diri atau cuba membunuh diri apabila perbuatan atau kegiatan mereka diketahui mahupun disiasat oleh pihak berkuasa pencegahan rasuah dan polis. Apatah lagi jika ia melibatkan kartel kerana situasinya lebih kompleks. Meskipun kebanyakan kes itu tidak melibatkan kematian di premis suruhanjaya pencegahan rasuah, isunya tetap sama iaitu tertuduh atau saksi yang malu, tertekan dan murung mengambil jalan keluar sendiri.

Dalam kaitan ini, SPRM tidak perlu goyah. Satu dua insiden bukan cerminan kepada kelemahan atau kegagalan suruhanjaya itu. Pada Awang, SPRM perlu meneruskan komitmen memerangi rasuah sebagaimana yang dibuktikannya kebelakangan ini. Terbaru, Operasi 3B oleh SPRM, yang mendedahkan gejala rasuah terbesar dalam sejarah iaitu melibatkan segelintir pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Seramai 62 pegawai pelbagai pangkat ditahan untuk siasatan sementara berjuta-juta wang, akaun, barangan berharga termasuk rumah dan kereta disita di beberapa negeri. Lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah dipindahkan secara haram ke luar negara. Menurut SPRM, negara kerugian akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion angkara tangan-tangan kotor itu. Bayangkan berapa banyak sekolah, hospital, bekalan air bersih dan perumahan rakyat dapat disediakan dengan wang sebanyak itu.

Pada Awang, ia amat mengejutkan dan tahniah kepada SPRM. Maka sebarang gesaan agar Ketua Pengarah SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed meletakkan jawatan adalah tidak wajar. Malah Awang angkat topi kepada beliau kerana SPRM semakin ke hadapan, berani, telus dan profesional di bawah kepimpinannya. Tugas yang murni apatah lagi melawan rasuah sememangnya banyak cabaran. Budaya masyarakat kita untuk menolak rasuah juga perlu diperkukuhkan. Tiada kompromi jika kita mahu mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

Kelmarin, di India, terdapat ribuan warga tua mogok lapar kerana mahu kerajaannya menangani gejala rasuah. Di Malaysia, terbukti SPRM berada di landasan yang betul dan telah membawa aspirasi rakyat. Awang juga berharap pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mana-mana pihak dan individu yang menyebarkan fitnah dan membuat dakwaan liar yang boleh menjejaskan kewibawaan SPRM. Terbaru ada portal berita mendakwa 1,839 individu yang mati sewaktu dalam siasatan SPRM. Dakwaan tersebut melampau dan jangan biarkan golongan ini yang mencorakkan negara.

Kerajaan perlu bertegas sebagaimana kerajaan Singapura dalam menangani mana-mana pihak dan warganegaranya yang tidak bertanggungjawab. Awang juga bosan dengan perbuatan memburuk-burukkan SPRM. Sudah sampai masanya SPRM mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan terhadap suruhanjaya itu didapati tidak benar.

Kepada seluruh masyarakat, janganlah herokan mereka yang melakukan rasuah dan menekan pula pihak seperti SPRM yang memerangi gejala itu. Ini budaya songsang yang turut ditolak dalam ajaran Islam. SPRM bukan musuh, yang menjadi musuh utama ialah gejala tersebut yang berleluasa di sekeliling kita.

Kepada Abu Kassim, para pegawai dan seluruh kakitangan SPRM, usahlah gentar. Jiwa Awang dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, 100 peratus bersama kalian. Selamat berjuang.