Artikel yang ditulis oleh Awang Selamat ini di petik dari akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Ia cukup menggambarkan apa yang sedang berlaku pada ketika ini. marilah sama-sama kita renungkan...
Cabaran SPRM
Awang bukanlah pegawai atau kakitangan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pun begitu, Awang boleh  rasakan tekanan yang dihadapi oleh SPRM ekoran satu lagi insiden  kematian saksi di premis SPRM. Lebih menyedihkan ada pihak termasuk sebahagian pemimpin pembangkang menangguk di air keruh dengan menyalahkan SPRM.
SPRM yang bertanggungjawab menegakkan integriti dan memerangi rasuah akhirnya menjadi mangsa budaya politik lapuk dan murahan. Dalam kes pertama melibatkan Teoh Beng Hock, Awang menyertai majoriti  rakyat yakin bahawa beliau tidak dibunuh seperti yang didakwa oleh  pihak-pihak tertentu. Sentimen yang dimainkan secara keterlaluan tidak  akan dapat menangkis kebenaran. Sesiapa yang rasional akan terima  hakikat. Tidak mungkin pegawai SPRM akan membunuh saksi di premis  mereka. Dalam insiden kedua, itulah juga keyakinan Awang. Mustahil sekali  lagi pegawai SPRM mahu memalukan suruhanjaya tersebut memandangkan kes  pertama sudah cukup memberikan tamparan luar biasa. Walaupun ada  kelemahan dari segi prosedur berkaitan saksi tetapi para pegawai SPRM  tidak sebodoh itu.
Pada Awang, saksi bertindak membawa mudarat kepada diri sendiri,  bukan sesuatu yang asing dalam penyiasatan badan atau suruhanjaya  pencegahan rasuah di seluruh dunia. Di Taiwan, saksi utama perbicaraan kes rasuah isteri bekas Presiden  Taiwan, Chen Sui-bian bertindak membunuh diri hanya sejam selepas  memberi keterangan pada Disember 2008. Di China pada tahun lalu, beberapa pegawai awam turut bertindak  membunuh diri disebabkan kemurungan, kebanyakannya ada kaitan dengan kes  rasuah. Malah ada laporan media China menyebut bahawa membunuh diri  sebagai salah satu cara bagi mengelakkan lebih banyak perkara terdedah  dan bagi melindungi maruah keluarga.
Di Filipina, bekas panglima tentera Jeneral (b) Angelo Reyes menembak  kepalanya sendiri selepas dia dituduh melakukan rasuah dan  penyelewengan wang dana tentera. Di Jepun pula, beberapa pegawai kanan awam dan anggota Parti LDP  membunuh diri ketika siasatan satu skandal rasuah hangat diperkatakan  pada 1989.
Banyak lagi kes membunuh diri atau cuba membunuh diri apabila  perbuatan atau kegiatan mereka diketahui mahupun disiasat oleh pihak  berkuasa pencegahan rasuah dan polis. Apatah lagi jika ia melibatkan  kartel kerana situasinya lebih kompleks. Meskipun kebanyakan kes itu  tidak melibatkan kematian di premis suruhanjaya pencegahan rasuah,  isunya tetap sama iaitu tertuduh atau saksi yang malu, tertekan dan  murung mengambil jalan keluar sendiri. 
Dalam kaitan ini, SPRM tidak perlu goyah. Satu dua insiden bukan  cerminan kepada kelemahan atau kegagalan suruhanjaya itu. Pada Awang,  SPRM perlu meneruskan komitmen memerangi rasuah sebagaimana yang  dibuktikannya kebelakangan ini. Terbaru, Operasi 3B oleh SPRM, yang  mendedahkan gejala rasuah terbesar dalam sejarah iaitu melibatkan  segelintir pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Seramai 62 pegawai pelbagai pangkat ditahan untuk siasatan sementara  berjuta-juta wang, akaun, barangan berharga termasuk rumah dan kereta  disita di beberapa negeri. Lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah  dipindahkan secara haram ke luar negara. Menurut SPRM, negara kerugian  akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion angkara tangan-tangan  kotor itu. Bayangkan berapa banyak sekolah, hospital, bekalan air  bersih dan perumahan rakyat dapat disediakan dengan wang sebanyak itu. 
Pada Awang, ia amat mengejutkan dan tahniah kepada SPRM. Maka  sebarang gesaan agar Ketua Pengarah SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed  meletakkan jawatan adalah tidak wajar. Malah Awang angkat topi kepada  beliau kerana SPRM semakin ke hadapan, berani, telus dan profesional di  bawah kepimpinannya. Tugas yang murni apatah lagi melawan rasuah  sememangnya banyak cabaran. Budaya masyarakat kita untuk menolak rasuah  juga perlu diperkukuhkan. Tiada kompromi jika kita mahu mengutamakan  kepentingan negara dan rakyat. 
Kelmarin, di India, terdapat ribuan warga tua mogok lapar kerana mahu  kerajaannya menangani gejala rasuah. Di Malaysia, terbukti SPRM berada  di landasan yang betul dan telah membawa aspirasi rakyat. Awang juga  berharap pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mana-mana pihak dan  individu yang menyebarkan fitnah dan membuat dakwaan liar yang boleh  menjejaskan kewibawaan SPRM. Terbaru ada portal berita mendakwa 1,839 individu yang mati sewaktu  dalam siasatan SPRM. Dakwaan tersebut melampau dan jangan biarkan  golongan ini yang mencorakkan negara.
Kerajaan perlu bertegas sebagaimana kerajaan Singapura dalam  menangani mana-mana pihak dan warganegaranya yang tidak  bertanggungjawab. Awang juga bosan dengan perbuatan memburuk-burukkan  SPRM. Sudah sampai masanya SPRM mengambil tindakan undang-undang  sekiranya tuduhan terhadap suruhanjaya itu didapati tidak benar.
Kepada seluruh masyarakat, janganlah herokan mereka yang melakukan  rasuah dan menekan pula pihak seperti SPRM yang memerangi gejala itu.  Ini budaya songsang yang turut ditolak dalam ajaran Islam. SPRM bukan  musuh, yang menjadi musuh utama ialah gejala tersebut yang berleluasa di  sekeliling kita. 
Kepada Abu Kassim, para pegawai dan seluruh kakitangan SPRM, usahlah  gentar. Jiwa Awang dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, 100  peratus bersama kalian. Selamat berjuang.